Salam Ukhuwah...
Apakah masalah anda hari ni? Kalau kata tak ada masalah, bohong laa...
Selagi kita bernafas, masalah tetap ada. Dan masalah itu bukan menyusahkan tapi itu ujian untuk kita tidak lalai daripada mengingati Allah s.w.t.
Baru-baru ini saya berjumpa dengan cikgu saya dan secara tidak sengaja meluahkan isi hati saya.
Saya cakap,
"saya menyesal ada ijazah cikgu, susah nak dapat kerja".
Memang tak patut saya cakap macam tu.
Ternyata cikgu saya terkejut!
Apapun, dia tetap memberi nasihat,
"Setiap manusia tu diuji. Ingat! Bersabarlah setiap kali kita diuji. Setiap kesabaran kita akan ada ganjarannya. Kalaulah kita boleh lihat pahala kita dek kesabaran kita, bahagianya. Mesti kita rasa nak menganggur je sepanjang hidup kita, tanggung ujian, tanggung tohmahan orang. Sebabnya bahagia tengok pahala yang Allah s.w.t beri kepada orang yang sabar".
Saat itu, jiwaku rasa terpukul. Sebak. Saya perlu sedar ada hikmah disebalik kejadian. Cikgu minta lihat balik perjalanan kehidupan kita. Kita nak jadi macam itu, tapi Allah bagi kita macam ini. Lihat kemanisan yang kita kecapi disebalik perancangan Allah s.w.t. Subhanallah! Memang perancanganNya Maha Hebat!
Cikgu, jazakillahu khair... Nasihatmu memberi kekuatan.
Bulan lepas saya masuk kerja beberapa hari je, kemudian berhenti. Sebelum berhenti, memang saya fikir masak-masak. Memang sakit untuk berhenti sebab saya perlu tanggung risiko jadi penganggur. Apa yang diberitahu dalam temuduga tak sama dengan kerja yang akan dilakukan. Saya cuba positifkan diri setelah masuk kerja, cuba terima. Tetapi tak boleh. Kerja luar. Lelaki dan perempuan bercampur bebas. Tambahan dengan bahasa yang digunakan masing-masing tidak sopan, solat pun melayang. Saya rasa bersalah sangat tak boleh tegur. Saat nak melangkah ke kerja, terasa bagaikan melangkah ke neraka. Panas! Ibu bapa saya juga tak merestui pekerjaan saya itu. Restu ibu bapa penting. Pasrah dengan istikharah. Jadi, saya nekad berhenti. Saya percaya Allah pasti akan menolong hambanya yang menjaga maruah agama.
Ternyata, setelah berhenti saya mendapat kerja lain. Kerja yang lebih mulia, mendidik anak bangsa. Sebelum ni ibu, bapa dan guru saya ada dorong saya untuk jadi cikgu. Tapi saya tak mahu sebab tak minat. Sebelum hari pertama mengajar, sekali lagi saya minta tunjuk ajar dari cikgu saya dahulu. Cikgu berkata,
"Kita menjadi cikgu bukan setakat mengajar, kita selami masalah pelajar. Pelajar itu tanggungjawab kita. Apabila saya masuk kelas, saya rasa tenang. Hilang terus masalah yang dihadapi".
Sekarang, hampir tiga minggu saya berkecimpung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Memang betul, hilang terus masalah bila tengok lagak pelajar. Tambahan, saya mengajar pelajar sekolah agama. Tenang tengok muka-muka yang bersih ni. Di atas meja masing-masing ada al-Quran.
Kadang-kadang terfikir juga, saya hanya guru tuisyen sahaja. Boleh ke saya jadi pendidik yang hebat macam cikgu saya? Tak mustahil! Insan yang hebat, akan dapat mewujudkan suasana yang hebat kepada orang sekelilingnya. Tak kisah la apa pekerjaan kita, yang penting diri kita perlu menjadi hebat. Muslim dan muslimah yang hebat.
Cikgu juga ada berkata
,"Dalam pekerjaan, yang penting ketenangan bekerja bukan gaji yang kita perolehi. Biar sikit, asalkan kita tenang dan dapat berbakti kepada anak bangsa. Insyaa Allah, pahala juga akan menjadi milik kita, yang penting ikhlas mengajar".
Pasti akan dahagakan nasihat cikgu lagi. Kata-katanya bagaikan tongkat untuk saya berdiri teguh di muka bumi ni.
Kalau saya tahu betapa seronoknya jadi cikgu ni, pasti saya akan ambil bidang pendidikan dulu.
Cikgu S adalah cikgu saya yang hebat!!!!
Akhir kalam, jangan sesekali menyesal dengan apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Yakinlah dengan perancangan Allah s.w.t. Kita sebagai hambaNya, perlu sentiasa berusaha dan berusaha. Biar pahit melalui perjalanan hidup ini, asalkan dapat kita kecapi kemanisan di penghujung jalan kelak.
SALAM RAMADHAN! UPGRADE YOUR PERSONALITY!